Segala puji
bagi Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan segala apa yang ada di langit
dan di bumi serta segala yang berada antara keduanya. Selawat dan salam ke atas
junjungan Baginda Rasulullah dan para sahabat. Allahumma Sholli a’laih wasallam
wa a’la aalihi washohbihi ajmain.
Sebagai umat
Islam, kita sedar bahawa kita meyakini bahawa Allah SWT telah mengutuskan
kekasihNya Nabi Muhammad SAW sebagai utusan untuk menyampaikan risalah Islam
kepada seluruh manusia. Berdasarkan sirah baginda Rasulullah sendiri kita mampu
melihat betapa sosok tubuh insan yang agong ini telah melalui jerit perih
perjuangan untuk menyampaikan Islam kepada manusia.
Jelas
terkandung di dalam sirah yang sarat dengan pelbagai peristiwa berbentuk
peperangan, membentuk perundangan, persahabatan, kekeluargaan dan pembinaan
masyarakat yang bersendikan syariat daripada Allah SWT. Melalui kisah-kisah dan
peristiwa yang ada, hati kita pasti tersentuh dengan kecekalan dan kesabaran
Baginda Rasulullah SAW untuk kekal istiqamah dalam menyebarkan ajaran Islam
kepada manusia meskipun berhadapan dengan tentangan yang tidak pernah terhenti.
Pasti ramai
yang sedia maklum bagaimana Rasulullah pernah dibaling dengan batu oleh
penduduk Taif sewaktu Baginda berdakwah di sana. Sehinggakan malaikat Jibril
menawarkan kepada Baginda untuk membalikkan bukit ke atas bumi Taif. Akan
tetapi atas keluhuran pekerti Baginda, Rasulullah sebaliknya menghalang Jibril
daripada berbuat demikian dan mengharapkan agar generasi Taif yang seterusnya
akan beriman kepada Allah dan Rasulnya.
Kita juga
pasti mengetahui satu peristiwa yang berlakuk ke atas Baginda semasa peperangan
uhud. Semas hiruk pikuk peperangan dengan golongan musyrikin setelah kumpulan
pemanah di Bukit Uhud mengingkari perintah Baginda, pihak musuh telah berjaya
menyerang Baginda sehingga menyebabkan patah gigi Baginda. Sehinggakan para
sahabat terpaksa melindungi Baginda daripada terus diserang. Pihak musuh pula
cuba melunturkan semangat tentera Islam dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad
telah mati.
Sewaktu di
Mekah lagi Baginda telah menghadapi tentangan dan sikap kurang ajar daripada
Abu Jahal dan konco-konconya. Diceritakan bahawa pernah satu ketika saat
Rasulullah sedang sujud, Uqbah bin Abi Muit telah bertindak meletakkan najis
unta di atas belakang Baginda. Baginda hanya bangkit semula setelah puteri
Baginda iaitu Siti Fatimah datang untuk membuang najis tersebut.
Begitu banyak
lagi kisah perjuangan yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW dalam
menyampaikan dakwah kepada manusia agar beriman dan menyembah Allah SWT. Hati
yang membaca pasti tersentuh dengan ketabahan Baginda menghadapi segala rintangan
tersebut dengan tenang dan istiqamah.
Akan tetapi,
apa yang berlaku baru-baru ini agak mendukacitakan. Tindakan yang dikira agak
melampau dan tidak menjaga sensitivity masyarakat oleh beberapa individu
anti-Islam. Penerbitan filem “Innocent of Muslim” yang terkandung di dalamnya
babak berbentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan satu perkara yang
tidak boleh diterima. Golongan seperti ini wajar dikritik dengan sekerasnya.
Umat Islam secara seluruhnya perlu menunjukkan solidariti untuk menentang
penghinaan yang tidak bertanggungjawab ini. Usaha beberapa pihak yang
mengadakan himpuna pada hari Jumaat yang lalu di beberapa masjid terpilih
sebagai menunjukkan kecintaan kita pada Rasulullah dan kemarahan kepada pihak
yang terlibat merupakan satu tindakan yang wajar dipuji serta disokong.
Semua
pimpinan Negara Islam di seluruh dunia perlu mengambil langkah yang sewajarnya
untuk mengkritik secara terbukan tindakan individu yang terbabit. Desakan yang
dilakukan oleh Presiden Mesir iaitu Dr Morsi yang mendesak kerajaan Amerika
Syarikat mengambil tindakan kepada semua individu yang terlibat dalam
pembikinan filem tersebut wajar diikuti oleh semua pemimpin di Negara Islam
yang lain termasuk di Malaysia.
Seluruh umat
Islam juga patut memainkan peranan masing-masing untuk menangkis semula salah
faham yang disebarkan daripada filem tersebut. Medium seperti penulisan, video
dan infografik wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk menangani isu sebegini. Umat
Islam tidak seharusnya memandang enteng kejadian sebegini. Kecintaan dan kasih
kita kepada Rasulullah SAW wajar diterjemahkan ke dalam amali dan praktikal
yang mampu memberi kesan dan impak kepada masyarakat.
Namun begitu,
satu perkara yang harus diingati oleh setiap individu muslim agar menjaga
batas-batas yang sepatutnya dalam mengkritik atau menentang. Tindakan membunuh
pegawai kedutaan Amerika yang berlaku di Libya merupakan satu perkara yang
tidak menepati prinsip Islam. Umat Islam wajar menunjukkan cara yang baik dalam
melontarkan bantahan dan penentangan terhadap isu sebegini kerana inilah cara
yang lebih dekat dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.
0 komentar:
Posting Komentar